Amalan Cukur Jambul | Kalau Dulu Aku Tak Tahu Sekarang Aku Dah Tahu

10/11/2011 12:35:00 PTG , , 8 Comments

 

Salam semua,

Tentunya korang selalu dengar Amalan / budaya cukur jambul ni tidak kiralah samada budaya ni dibuat dikampung atau dibandar tapi apa yang pastinya masih ramai yang buat budaya ni.. betul tak?

Tidak terkecuali juga beberapa ahli keluarga aku masih mengamalkan budaya ini.. dan selepas aku baca satu entri yang bertajuk “Cukur jambul amalan bidaah orang Melayu” maka aku rasa berdosa kalau aku tak kongsi bersama-sama dengan korang semua yang beragama Islam ni.

Cukur Jambul Kalau munkin sebelum ni ada ahli keluarga aku yang amalkan budaya ni.. dan aku tak salahkan mereka pon kerana mungkin sebelum ni mereka tidak tahu atau jahil bab agama tapi sekarang bila aku dah tahu why not bukan aku yang terangkan kepada mereka tentang hukum amalan ni. betul tak?

Bab-bab hukum agama ni aku takut nak ulas lebih.. takut silap cakap nanti disalah ertikan tapi apa kata korang baca petikan tulisan dari forum ni.

Entri dibawah aku petik dari Halaqah.net

Cukur jambul amalan bidaah orang Melayu

« on: 19 July, 2007, 04:53:49 PM »

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu.

Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama.” (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi)

Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin.

Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan disamakan dengan nilai perak dan kemudiannya disedekahkan kepada fakir miskin. Bagaimanapun, ulama hari ini menyatakan, emas boleh digunakan bagi menggantikan perak. Bahkan, mengikut Islam juga, pada hari ketujuh akan dilakukan tahnik, jelas Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz.

Menurut beliau, amalan tahnik adalah memasukkan sesuatu yang manis seperti manisan madu lebah atau buah tamar yang dihancurkan dan memalitkannya ke lelangit bayi. Sebaliknya, cecair manis hanya disapukan ke bibir bayi dan bukannya ke dalam mulut sebagaimana yang disunahkan oleh Rasulullah s.a.w..

Islam menggalakkan amalan mencukur rambut bayi sehingga botak supaya segala kekotoran yang keluar daripada rahim dapat dibuang dan membolehkan rambut baru tumbuh dengan sihat.
Sebahagian masyarakat Islam hari ini tidak mencukur rambut anak-anak hingga botak sebaliknya mengadakan upacara cukur jambul sebagai adat dan tradisi yang telah dilakukan sejak turun temurun. Tambah mengelirukan, rambut yang digunting itu dimasukkan ke dalam buah kelapa.

Memandangkan terdapat beberapa perkara yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam, maka ulama berpendapat, mengamalkan adat cukur jambul adalah bidaah dan khurafat. Paling menyedihkan apabila terdapat segelintir umat Islam yang cuba menghidupkan kembali kepercayaan seperti ini.

“Mengikut sesetengah pendapat, amalan cukur jambul adalah tradisi dan kepercayaan yang dilakukan oleh masyarakat India seperti menggunakan buah kelapa. “Soalnya, kenapa menggunakan buah kelapa? Apakah relevan amalan sebegini dengan masyarakat Islam?” kata beliau.

Selain amalan-amalan di atas yang bertentangan dengan syariat agama, kesilapan yang turut dilakukan ibu bapa hari ini ialah akikah atau cukur rambut dilakukan setelah bayi berusia beberapa bulan. Majlis tersebut turut disertai dengan adat berendoi di mana buaian dihias dengan bunga-bungaan dan perhiasan lain.

Menurut Abu Hassan, upacara cukur rambut tidak perlu disertakan dengan marhaban atau berzanji. Ia memadai dengan bercukur rambut sahaja. Melainkan jika ia diadakan pada hari akikah, bolehlah diadakan jamuan.

“Tetapi kadang-kadang disebabkan rasa gembira dengan kehadiran orang baru dalam keluarga, kita mengadakan majlis secara besar-besaran hingga menampakkan unsur-unsur kemewahan. Perbuatan ini tidak menjadi kesalahan asalkan niat dan tujuan diadakan adalah ikhlas kerana Allah s.w.t.. Cuma dibimbangi sekiranya ia bertukar menjadi riak, maka ia adalah menjadi satu kesalahan,” ulas beliau mengenai kecenderungan masyarakat hari ini yang gemar mengadakan majlis cukur jambul secara besar-besaran.

Masyarakat Islam harus faham bahawa sesuatu amalan yang dilakukan sama ada yang sudah menjadi tradisi dan kebiasaan tanpa bersumberkan nas atau dalil yang sah perlu ditolak. Apatah lagi apabila ia dikaitkan dengan kepercayaan dan tradisi agama lain.

Kebanyakan amalan yang dijadikan adat bagi orang Melayu dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang sekian lama diamalkan di negara ini. Berpandukan kepada sejarah, sebelum kedatangan Islam ke Tanah Melayu, penduduk asal negara ini ketika itu menganut agama Hindu.

Antara adat yang tidak boleh dipisahkan oleh masyarakat Melayu ialah persandingan dan menepung tawar pengantin ketika majlis perkahwinan. Walaupun Islam tidak melarang tetapi dari segi perlaksanaannya ia tetap bertentangan dengan syariat agama. Contohnya, menghiaskan pengantin dan ditambah dengan pelamin yang berhias bunga-bungaan dan sebagainya. Kemudian, pengantin diletakkan di atas pelamin dan diadakan upacara merenjis dan menepung tawar. Malah pengantin perempuan pada hari ini juga cenderung melukis pelbagai bentuk dan corak pada tangan mereka sedangkan ia jelas bertentangan dengan hukum Islam yang melarang sebarang lukisan dilakukan pada anggota badan.

“Sebenarnya terlalu banyak adat dan tradisi yang bertentangan dengan syariat tetapi masih tetap diamalkan oleh masyarakat Melayu. Sepatutnya semua perkara bidaah ini harus dihentikan demi menjamin kesejahteraan ummah. “Justeru, demi kebaikan bayi yang dilahirkan supaya menjadi manusia yang berguna kelak, tidak seharusnya mereka didedahkan dengan perkara khurafat dan bidaah sejak masih kecil,” tegas beliau.

Adat cukur jambul
Adat ini dilakukan pada hari ketujuh selepas bayi dilahirkan. Untuk menjalankan upacara tersebut beberapa kelengkapan disediakan iaitu sebuah dulang berisi tiga mangkuk atau piring yang berisi air tepung tawar, beras kunyit dan bertih.

Sebiji kelapa muda dipotong bahagian kepalanya dengan potongan berkelok-kelok siku seluang untuk dijadikan penutup. Airnya dibuang dan diganti dengan sedikit air sejuk. Kemudian kelapa yang dihias dengan lilitan rantai emas atau perak disekelilingnya diletakkan di dalam sebiji batil. Kesemua rambut bayi yang dicukur akan dimasukkan ke dalam kelapa. Akhirnya kelapa tersebut di tanam di sekitar halaman rumah bersama sepohon anak kelapa atau seumpamanya sebagai memperingati masa anak itu dilahirkan.

Lazimnya, semasa adat ini dijalankan akikah turut diadakan. Dari segi syarak, akikah membawa pengertian menyembelih ternakan pada hari ke tujuh selepas anak dilahirkan. Akikah sunat dilakukan pada hari ketujuh kelahiran iaitu boleh dijalankan serentak dengan adat mencukur rambut dan adat memberi nama. Namun ia juga boleh dilakukan pada hari yang lain.

Adat berendoi
Semasa adat berendoi, bayi akan diletakkan di dalam buaian dengan menggunakan kain songket atau batik dan dihias indah dengan bunga-bungaan. Selendang akan diikat di kiri kanan buaian dan ditarik perlahan-lahan semasa upacara berlangsung. Ketika itu juga nazam atau marhaban dialunkan oleh sekumpulan lelaki atau wanita. Pada hari ini, masyarakat Melayu menjalankan adat ini serentak dengan adat memberi nama dan adat cukur rambut.

Sumber : Utusan Malaysia Online

kambing-akikah

Semoga apa yang terangkan diatas dapat sama-sama kita hebahkan kepada ahli keluarga kita semua.

Sebagai seorang suami & bakal bergelar seorang ayah semestinya zuriat yang bakal lahir nanti dari awal lagi mahu diterapkan dengan nilai-nilai agama islam.

Semoga keluarga kita semua dijauhkan dari amalan-amalan khurafat & bidaah yang telah diamalkan oleh nenek moyang kita dahulu.. Kalau bukan kita yang mengubahnya dari sekarang siapa lagi yang akan mengubahnya?

Myvitrd

Some say he’s half man half fish, others say he’s more of a seventy/thirty split. Either way he’s a fishy bastard.

8 ulasan:

  1. family saya masih amalkan cuma tak der la buat yang pelik2 macam masuk rambut dalam buah kelapa tue..

    BalasPadam
  2. @far_east : samalah macam saya.. memang ada guna buah kelapa lagi.. tapi apa rasionalnya letak kelapa pon tak tahu.. nak tegur takut kecik hatikan.. tapi kalau tak tegur rasanya sampai ke mati masih buat amalan tu.. so kena cara berkhemahlah nak tegur2 tu kan.. :-)

    BalasPadam
  3. takut teguran dari orang muda disalah anggap...sebab selalunya yang buat benda nie orang lama..

    BalasPadam
  4. @far_east : memang betul awak ckp tu.. tapi kalau kita tak mulakan memang sampai ke bila kita dok follow jelah.. apa pon gunakan cara berkhemah nak tegur.. jgn mai terjah je.. nanti keluar hadis dia org parah kita nak jawab..

    BalasPadam
  5. sekarang ni senang..banyak info ada kat internet..mungkin orang dulu terikut-ikut sahaja kan..langsung jadi budaya

    BalasPadam
  6. @kak ina Kl : betul tu kak.. sebab terikut2 nilah terus jadi budaya..

    BalasPadam
  7. bgs info ni..thanks share :)
    ldg2 kita nk tegur pun susah, nnti kita dikata memandai2 huhu

    BalasPadam
  8. @Suterakasih : nak tegur kena ada caranya dan cari masa yg sesuai.. supaya org tak salah faham

    BalasPadam

Jangan segan-segan bagi komen ye..