Indonesia Dilanda Bencana Gunung Merapi & Gempa Bumi Serta Tsunami

Salam,

Pagi ni kita digemparkan dengan 2 bencana alam yang melanda negara jiran kita di Indonesi iaitu satu letusan gunung merapi dan satu lagi gempa bumi disumatera barat yang telah meragut beratus-ratus nyawa.

BENCANA ALAM... keadaan rumah orang kampung yang musnah akibat dilanda ombak besar di Mentawai.


Ikuti Laporan berita dibawah : Sumber BERNAMA & Utusan Online


Gunung Merapi Meletus Dan Turunkan Hujan Abu Vulkano


YOGYAKARTA, 26 Okt (Bernama) -- Letusan Gunung Merapi petang tadi mula meragut korban dengan sekurang-kurangnya satu kematian, selain mencederakan sejumlah mangsa dengan luka melecur di muka dan badan.

Stesen televisyen swasta MetroTV menyiarkan gambar paramedik berusaha menyelamatkan bayi berusia sekitar tiga bulan dengan alat bantuan pernafasan.

"Keadaan pernafasan bayi ketika datang ke hospital memang sudah parah, diperkirakan memang sudah meninggal di perjalanan," kata Dr Sasongko yang bertugas di Hospital Umum Daerah Muntilan, Jawa Tengah.

Beliau berkata di hospital itu terdapat sembilan pesakit lain yang cedera akibat letusan gunung berapi tersebut.

Sementara itu, Hospital Panti Nugroho di Sleman, Yogyakarta turut merawat beberapa pesakit yang cedera akibat melecur.

Dari gambar yang ditampilkan, kelihatan pesakit melecur di seluruh tubuh hingga ke muka.

Suasana di sekitar Merapi masih mencengkam, dan proses pemindahan penduduk masih dilakukan.

Ketua Kampung Desa Kepuharjo yang terletak di Cangkringan, Sleman iaitu Heri Suprapto berkata seluruh penduduk di desanya yang berjumlah ribuan orang, telah ditempatkan di kawasan lapang di sebuah desa lain.

Ketika dihubungi Bernama menerusi telefon, beliau sedang menguruskan pemindahan penduduk.

"Pada masa ini, hujan abu masih sangat lebat sehingga warga berbondong-bondong menuju ke tempat yang lebih selamat melalui laluan pemindahan yang ditetapkan," katanya.

Penulis sendiri yang memandu ke Yogyakarta telah mengalami hujan abu Merapi bila memasuki Gombong Timur, Jawa Tengah kira-kira 200 kilometer ke gunung berapi itu.

Kereta penulis yang diselimuti abu putih terpaksa berhenti di stesen minyak untuk membersihkan cermin kereta yang menutup pandangan pemandu dari dalam kenderaan.

Udara berdebu yang berbau belerang agak busuk, menyucuk hidung sehingga memerlukan orang ramai memakai topeng muka.

Sebuah bas ekspres kelihatan terpaksa berhenti di tengah jalan kerana cermin depannya turut diselaputi abu putih sehingga menutup pandangan pemandu.

Sementara itu, pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Datuk Dr Junaidy Abu Bakar, pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia, membantu memindahkan seramai 34 pelajar Malaysia dari sebuah pesantren di Magelang ke Solo.

Sebanyak tiga mukim di daerah Sleman yang mempunyai kira-kira 13,500 penduduk, diancam bahaya selepas Gunung Merapi meletus.

Namun, jika dilihat kesan hujan abu gunung berapi yang menjangkau 200 kilometer, jumlah penduduk yang diancam bahaya adalah jauh lebih besar.

-- BERNAMA

113 MAUT GEMPA DI SUMATERA BARAT

Beberapa pulau kecil dalam kepulauan Mentawai dilanda tsunami setinggi 3 meter setelah berlaku gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter 20 kilometer di bawah dasar laut, 78 kilometer ke barat Pagai Selatan di kepulauan Mentawai, kelmarin. – Agensi

JAKARTA 26 Okt. – Sekurang-kurangnya 113 terbunuh, manakala kira-kira 500 lagi, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, masih hilang apabila tsunami melanda kampung-kampung tepi pantai berikutan gempa bumi kuat dekat Sumatera Barat, malam tadi.

Lebih 150 buah rumah rosak dan kira-kira 2,000 penduduk melarikan diri ke kawasan tinggi dalam kejadian itu.

Gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter itu berlaku 20 kilometer di bawah dasar laut, 78 kilometer ke barat Pagai Selatan di kepulauan Mentawai pada pukul 9.42 malam tadi (10.42 malam waktu Malaysia) dan mencetuskan ombak tsunami setinggi tiga meter yang melanda perkampungan di beberapa buah pulau.

Pegawai agensi pengurusan bencana, Ade Edward hari ini berkata, angka kematian baru mula diterima dan setakat ini, 113 mayat sudah ditemui dan kira-kira 500 orang masih hilang.

Kata pegawai Jabatan Perikanan peringkat wilayah, Hardimansyah, penduduk memberitahu pengawal di pos keselamatan tempatan bahawa mereka tidak dapat menyelamatkan anak-anak mereka yang dihanyut ombak.

Kata Hardimansyah, di kampung Malakopa yang berdekatan, sekurang-kurangnya seorang disahkan terkorban, manakala dua lagi masih hilang.

Kira-kira 80 peratus rumah di kawasan itu rosak dan bekalan makanan semakin merosot, katanya.

Polis tempatan mencari mangsa yang hilang dan mendirikan pos-pos kecemasan, kata pegawai di balai polis daerah Sikakap, Ronald.

Ketua unit gerakan bencana di Kementerian Kesihatan, Mudjiarto berkata, dua mayat telah ditemui dekat pulau Sipora, manakala tujuh orang lagi masih hilang.

Di pulau Pagai Selatan, ombak tsunami bergerak sejauh 600 meter ke dalam kampung tepi pantai, sementara di pulau Pagai Utara, ombak mencecah paras bumbung rumah, katanya.

Sebuah bot pelancong membawa antara lapan hingga 10 warga Australia terputus hubungan radio sejak gempa bumi itu berlaku, menurut kenyataan Jabatan Hal-Ehwal Luar dan Perdagangan Australia.

Situasi sebenar di Mentawai tidak diketahui selepas talian telefon dipercayai terputus.

Beratus-ratus pegawai bencana tidak dapat dihantar segera ke pulau-pulau terjejas di kepulauan Mentawai kerana ia mengambil masa selama 12 jam menggunakan bot untuk sampai ke kepulauan terbabit.

Media tempatan turut melaporkan dua buah perahu layar berlanggar di perairan tersebut menyebabkan dua orang tercampak ke dalam laut dan operasi mencari mangsa masih dijalankan.

Wilayah Acheh di Indonesia pernah dilanda gempa bumi kuat berukuran 9.1 pada skala Richter pada 26 Disember 2004 mencetus tsunami besar.

Tsunami itu yang turut melanda 12 negara lain di sekitar Lautan Hindi yang meragut 230,000 nyawa dengan kira-kira separuh daripadanya di Indonesia. – Reuters/AP


online counter

Tagged as : Letupan gunung merapi di Indonesia, Gempa bumi di Sumatera Barat, Tsunami terjadi di Indonesia

Myvitrd

Some say he’s half man half fish, others say he’s more of a seventy/thirty split. Either way he’s a fishy bastard.

0 ulasan:

Jangan segan-segan bagi komen ye..